Pemakanan pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis

Standard

Setiap hari bekerja, mesti saya berjumpa dengan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani dialisis.Sememangnya mereka memerlukan penjagaan makanan yang khusus dan betul untuk mendapat tubuh badan yang sihat.

“Makan kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa yang berkanji dan tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi kan­dungan protein dan garam.

“Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati…”

“Jika dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?” Keluhan yang sering ditimbulkan kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

Kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan tekanan.

Buah pinggang adalah salah satu daripada organ yang penting di dalam tubuh kita. Buah Pinggang mempunyai berbagai fungsi, salah satu fungsinya ialah untuk mengeluarkan bahan buangan dihasilkan oleh tubuh kita daripada makanan yang kita makan. Sesetengah makanan menghasilkan lebih banyak bahan buangan berbanding dengan makanan yang lain.
Walaupun haemodialisis direka untuk menggantikan fungsi buah pinggang, tetapi terdapat juga makanan yang perlu dikawal.

Walaubagaimanapun, adalah penting bagi pesakit untuk makan dengan sempurna dan betul untuk mencapai serta mengekalkan berat badan yang sesuai dan untuk menjamin kesihatan yang baik.

Objektif penjagaan makanan

-mengelakkan pengumpulan bahan buangan beracun yang berlebihan
-mencapai/mengekalkan berat badan yang sesuai
-mencapai/mengekalkan paras haemoglobin(HB) yang normal
-mengawal tekanan darah
-menghindarkan denyutan jantung yang tidak teratur
-mengelakkan penyakit tulang
-mengelakkan pengumpulan air

BERIKUT ADALAH PANDUAN YANG BERGUNA UNTUK ANDA MEMILIH MAKANAN SECARA BIJAK

1.Cecair. Dengan menghadkan berapa banyak cecair yang anda minum setiap hari,anda dapat menghalang cecair berlebihan daripada berkumpul di dalam tubuh.Cecair yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat,yang mana ianya akan menyebabkan jantung anda bekerja dengan lebih keras, dan akan meningkatkan stres rawatan dialisis.Banyak makanan yang mengandungi cecair seperti buah-buahan,sup dan juga aiskrim.Oleh itu,doktor dan pakar pemakanan akan membantu untuk menentukan berapa banyak yang boleh anda minum setiap hari.Mereka juga boleh membantu untuk memberikan tip bagaimana untuk mengawal rasa haus.

2.Potassium. Potassium akan memberikan kesan bagaimana stabilnya denyutan jantung anda.Ianya boleh didapati di dalam pelbagai jenis makanan terutamanya susu,buah-buahan dan sayur-sayuran.Mengambil makanan yang teralu tinggi kandungan potassium sangat merbahaya kepada jantung anda.Pakar pemakanan anda dapat membantu memberikan lebih maklumat lanjut tentang potassium dan apakah makanan yang mempunyai tinggi kandungan potassiumnya.Rujuk diet tinggi pottasiumpottassium

3.Protin:Kebanyakan mereka yang menjalani rawatan dialisis digalakkan untuk mengambil makanan berprotin yang tinggi kualitinya sebanyak mana yang mereka boleh.Protin akan membantu anda untuk menjaga otot dan memperbaiki tisu-tisu yang rosak.Tubuh anda juga akan mempunyai sistem pertahanan yang lebih kuat terhadap sebarang jangkitan dan akan cepat sembuh dari sebarang pembedahan.Tubuh akan menukarkan protin yang berlebihan ke dalam bentuk sisa buangan yang dipanggil urea.Jika kandungan urea di dalam darah tinggi,ini menunjukkan bahawa tubuh anda berada di dalam keadaan tidak sihat.Memakan kandungan protin yang berkualiti tinggi sangat penting kerana ianya kurang menghasilkan urea.Protin berkualiti tinggi boleh didapati daripada daging,ikan,ayam dan juga telur(terutamanya putih telur).

4.Fosforus: Dengan mengambil terlalu banyak fosforus mineral akan menyebabkan tulang menjadi lemah dan kulit menjadi gatal.Terlalu banyak kandungan fosforus di dalam darah anda boleh menyebabkan kalsium diserap keluar dari tulang anda.Makanan yang tinggi kandungan fosforus seperti susu dan keju,kekacang dan juga mentega kacang mesti dielakkan.Kemungkinan juga anda perlu mengambil pengikat fosforus di dalam darah ketika sesi rawatan dialisis.

5.Kalori:Kalori akan membekalkan kepada anda tenaga.Oleh itu,anda perlu mencari jalan untuk menambahkan kalori di dalam diet anda.Minyak sayuran-seperti minyak zaitun,kanola dan minyak safflower adalah sumber kalori terbaik dan tidak mendatangkan masalah kepada anda untuk mengawal kolestrol.Gula-gula,madu,jem dan gula juga menyumbang kepada kalori dan tenaga. Walaubagaimanapun,sekiranya anda mempunyai masalah diabetis,berhati-hatilah mengambil makanan yang manis.Panduan dan bimbingan dari pakar pemakanan adalah sangat penting bagi pesakit diabetis.

6.Suplemen. Oleh kerana anda perlu mengelakkan begitu banyak jenis makanan,maka vitamin dan mineral mungkin akan hilang dari diet anda.Selain itu,rawatan dialisis juga akan turut menghilangkan vitamin dari tubuh anda.Doktor mungkin akan menetapkan suplemen vitamin dan mineral yang direka khas untuk mereka yang telah gagal fungsi buah pinggangnya.Oleh itu berbincanglah dengan pakar pemakanan anda tentang makanan yang boleh anda ambil apabila anda menjalani rawatan dialisis.

Sekian dulu untuk artikel kali ini.

Berbincanglah dengan pegawai dietetik untuk maklumat lanjut